Wednesday, July 1, 2015

Program Peningkatan Prestasi

Sasaran

Matematik SPM
  • Berdasarkan bandingan di atas, jelas bahawa pencapaian Matematik dan Matematik Tambahan  bagi  peperiksaan pertengahan tahun masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
  • Ketua Panitia Pn. Ooh mengatakan  bahawa keputusan murid kurang memuaskan kerana mereka tidak membuat ulangkaji terhadap pelajaran yang sudah dibelajari. Banyak soalan yang dari tingkatan 4 tidak dijawab oleh pelajar dan dibiarkan kosong saja. Dengan ini, Pn Ooh mencadang untuk mengadakan kelas tambahan bagi kelas dari  5A2  hingga 5BA. Guru-guru yang mengajar kelas tersebut boleh kongsi menyediakan modul-modul ulangkaji bagi murid. Masa kelas tambahan boleh ditetapkan oleh guru sendiri.  
  • Untuk kumpulan cemerlang, kelas 5S1 – 5A1, set-set soalan yang berbentuk SPM akan diedarkan mulai bulan Julai dan guru-guru diminta memberi kepada murid untuk disiapkan dan membincangkan soalan-soalan tersebut kepada murid jika perlu .Guru-guru diminta  untuk memaksa murid menyiapkan latihan mengikut jadual yang ditetapkan. Guru-guru yang ada program lain boleh bercadang kepada panitia dan modul-modul latihan boleh difotostat dengan menggunakan wang panitia.
  • Bagi Kumpulan Galus,  kelas 5A4 – 5AB, soalan-soalan yang terpilih dari kertas 2 akan diberi dan murid-murid akan didedahkan soalan-soalan tersebut dengan banyak sehingga mereka boleh mengingati cara penyelesaiannya. 
  • Sebelum peperiksaan percubaan SPM, sekurang-kurang satu set soalan berbentuk SPM akan diedarkan kepada semua murid supaya mereka dapat dilatih dengan soalan berbentuk SPM dan 4 set soalan lain akan diberi selepas peperiksaan percubaan SPM.
  • Pn. Tan Khim Ping akan mengadakan kelas tambahan untuk kelas 5S2 dan 5BA semasa cuti pada bulan Julai.
  • Pn. Ooh Jeok Ching telah mengadakan kelas tambahan untuk kelas 5A2 dan 5A4 pada 16/5 dari jam 9.00-12.00pm .
  • Kurang daripada 10 murid sahaja dari kelas 5A2 yang hadir untuk kelas tambahan masa cuti bulan Jun.
  • Pn Koh akan mengadakan kelas tambahan sendiri untuk kelas 5A1.


Matematik PT3
  • Latihan tubi diperbanyakkan. 
  • Pn Azirah akan menjalankan kelas tambahan bagi kumpulan cemerlang pada hari Sabtu selama 3 jam untuk kawalan sukatan pelajaran tingkatan 3. 
  • Pn. Azirah akan mengadakan kelas tambahan bagi kumpulan sederhana   pada hari Jumaat, selepas waktu persekolahan sesi pagi. Dalam kelas ini, ulangkaji terhadap topik-topik 10 ,11,12 dan 13  tingkatan dua akan dibuat.
  • Pn. Azirah memberitahu bahawa modul soalan KBAT boleh dimuat turun dari email kbatmath2015@gmail.com dengan kata laluan jpn123456 untuk melatih murid-murid supaya mahir menjawab soalan KBAT. 


Matematik Tambahan SPM
  • Guru-guru membuat Program Peningkatan Prestasi untuk kelas mereka masing-masing. Panitia akan membekalkan sekurang-kurang 4 set kertas soalan berbentuk SPM.
  • Dicadang mengadakan satu seminar teknik menjawab soalan SPM pada 25hb  Julai.


Tuesday, June 30, 2015

Tips Belajar Matematik

Salam semua..
Hari nie Cikgu ingin berkongsi dengan anda tentang Tips Belajar Matematik.
Seperti mana yang kita sedia maklum, Matematik adalah suatu subjek yang penting. Setiap hari kita mengaplikasikan ilmu matematik. Sewaktu kita berbelanja(membeli belah) kita mengaplikasikan pengetahuan matematik. Apabila kita membuat temu janji, kita akan mengira masa yang ada. Apabila kita melihat harga sesuatu barang, kita membuat perbandingan harga, ilmu matematik turut diaplikasikan. Pendek kata ilmu matematik berkaitan dengan kehidupan seharian.
Namun, apabila kita berada di alam persekolahan, kita mempelajari suatu ilmu matematik, minat tersebut berkurang. Mengapa ini berlaku? Adakah kerana kita gagal subjek matematik, maka kita tidak berminat untuk mempelajarinya? Mengapa GAGAL MATEMATIK ini berlaku?
Salah satu sebab kegagalan matematik adalah TIDAK MEMAHAMI matematik. Terdapat banyak faktor lain, tapi dalam hal ini, kita mengulas tentang tidak memahami matematik. Jika anda tidak memahami matematik, adakah anda bertanya dengan cikgu? atau hanya berdiam diri? Tunggu sehingga ketidak fahaman yang sedikit menjadi ketidak-fahaman yang besar. Adakah anda membuat rujukan atau perbincangan dengan rakan-rakan jika tidak faham mengenai sesuatu konsep matematik yang tidak jelas atau tidak faham? Adakah anda membuat latihan yang diberikan oleh cikgu? adakah anda membuat latihan tambahan? Berapa lama masa yang anda luangkan untuk belajar matematik? Persoalan-persoalan ini mampu memberikan jawapan kepada ketidakfahaman anda terhadap matematik.

Berikut adalah garis panduan (pengalaman sendiri saya) untuk lebih faham mengenai matematik.
1. Memberikan TUMPUAN yang sepenuhnya ketika pengajaran di dalam kelas. Ini kerana otak manusia biasanya dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya sehingga 30 minit yang pertama. Jadi, cuba untuk menggunakan tumpuan ini sebaik-baiknya untuk memahami konsep matematik yang disampaikan oleh cikgu.
2. BERTANYA. Jika anda tidak jelas, atau tidak faham mengenai sesuatu konsep matematik, sila bertanya. Jika terlepas atau tidak faham suatu konsep yang mungkin asas atau mudah, ini mungkin akan menjejaskan kefahaman keseluruhan konsep matematik. Jika malu bertanya di dalam kelas, anda boleh bertanya di luar kelas. Cikgu sentiasa membantu untuk menjelaskan ketidak jelasan anda. Harus diingat, jika kita menyimpan ketidak fahaman anda, lama kelamaan ia akan menjadi ketidak fahaman yang besar dan hal ini mampu membunuh kefahaman anda.
3. BUAT LATIHAN. Seperti sukan, untuk memahirkan diri dengan sesuatu bidang, anda haruslah meluangkan masa, tenaga dan fikiran untuk menguasainya. Jadi LATIHAN adalah aspek yang penting. Dengan latihan, ia akan memberikan pengalaman menyelesaikan bentuk-bentuk soalan. Hal ini memberikan idea dan konsep yang berbeza-beza dalam penyelesaian. Dengan latihan juga, ia menjana pemikiran anda untuk melihat suatu konsep itu pada sudut yang lain. Latihan yang berterusan mampu memberi kemahiran -kemahiran menyelesaikan soalan pada sudut yang berlainan. Disamping itu, otak anda akan membina skema penyelesaian kepada latiha yang dibuat. Pengalaman penyelesaian ini memberikan kefahaman yang lebih dalam lagi. Dengan bertambahnya pengalaman, kemahiran turut dapat digilap dan dimurnikan. Latihan boleh dilakukan dengan belajar sendiri, belajar berkumpulan atau pun secara online. Banyak sumber matematik boleh diperolehi melalui internet. Terdapat juga pembelajaran secara online menerusi internet.
4. Aspek lain adalah, jangan menganggap matematik ini SUSAH. Anggaplah ia sebagai sesuatu yang mencabar dan penting. Tanggapan ini amat mempengaruhi semangat anda untuk mempelajari matematik. Jika tanggapan anda negatif, secara langsung timbul sikap untuk tidak minat, malah yang lebih teruk adalah membenci matematik.
Apabila semua ini telah anda lakukan, jangan lupa memohon berkat daripada Tuhan.

SUMBER: Cikgu Hafizudin, http://www.iluvmaths.com

Thursday, May 21, 2015

Format PT3 Matematik

Berikut adalah format Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi subjek Matematik (Ujian Bertulis)



Penerangan
Tugasan memerlukan murid untuk memberikan respon  secara bertulis dalam bentuk ujian objektif atau subjektif.

Tempoh
Dua jam

Konstruk
Pengetahuan, Kefahaman dan Kemahiran
Kaedah Penskoran
Analitik

Bentuk Ujian
Objektif atau subjektif

Jenis Item
Respon terhad / berstruktur / objektif pelbagai bentuk

Tajuk
Tugasan dibangunkan dalam lingkungan sukatan pelajaran tingkatan satu hingga tiga

Pelaksanaan 
Berjadual dan dalam tempoh yang dibenarkan

Pemeriksaan
Dilakukan oleh guru berpandukan panduan penskoran

Mode
Murid memberikan respon secara individu

Saturday, April 18, 2015

Program: Penataran KBAT dalam PdP Matematik

Kursus yang diadakan pada 18 April 2015 anjuran Panitia Matematik ini bertujuan meningkatkan kompetensi guru Matematik dalam pengajaran  dan pembelajaran Matematik menggunakan  pemikiran beraras  tinggi. Objektif kursus termasuk :
  • Memahami maksud dan konsep KBAT, falsafah dan teori KBAT.
  • Meningkatkan kemahiran KBAT melalui pemahaman prinsip-prinsip berkaitan dengan KBAT, meningkatkan penggunaan strategi-strategi penyelesaian masalah kontemporari bagi Matematik.
  • Menambah dan meluaskan informasi atau pengetahuan tentang pedagogi pengajaran Matematik serta kaedah pentaksiran yang mengambil kira KBAT.
  • Mempraktikkan pemikiran Matematik yang dapat memupuk kreativiti, pemikiran kritis dan pemikiran kuiri.
  • Memahami objektif pentaksiran Lembaga Peperiksaan, TIMSS dan PISA dan mengaitkannya kepada kurikulum dan amalan kelas.


Kekuatan  kursus :
  • Dapat meningkatkan  pengetahuan dan kemahiran  KBAT bagi peserta- peserta  kursus.
  • Dapat melatih peserta-peserta  kursus untuk memahami ciri-ciri soalan KBAT dan menggubal soalan-soalan KBAT.
  • Dapat meningkatkan pengetahuan peserta-peserta kursus tentang kreativiti.

Kelemahan kursus
  • Guru menghadapi kekangan untuk menilai sama ada item yang dibina dapat diterima sebagai soalan KBAT atau tidak. 
  • Masih kekurangan contoh-contoh soalan KBAT yang mencukupi untuk dijadikan sebagai rujukan guru.
  • Menghadapi kesukaran untuk menghubungkait soalan tak rutin dengan kehidupan harian.

Cadangan: 
  • Diharap JPN atau Kementerian Pendidikan boleh membekalkan bank-bank soalan KBAT mengikut topik supaya boleh dijadikan sebagai rujukan guru.

Gambar Aktiviti: